Tuesday 22 January 2013

Encik Suami Mat Salih Celup? 19







Bab 19


Usai solat Zohor berjemaah di surau rumah, aku membantu umi dan Mak Nab untuk menghidangkan menu makanan tengah hari sambil ditemani Jazmin. Rumah banglo besar ini kembali sunyi apabila saudara-mara yang lain sudah pulang. Along Seth juga sudah pulang ke rumahnya di Subang Jaya. Angah Noah sudah kembali ke Universiti Malaya.

            “Amani.’’ Bisik Ian yang duduk di sebelahku. Ketika itu kami sekeluarga sedang menikmati hidangan tengah hari bersama-sama.

            “Kenapa?” Soalku, juga berbisik.

Ian membuat isyarat mata ke arah ikan kari ikan bawal yang terletak di hadapannya. Aku sudah mengerutkan dahi. Dia ni dah kenapa?

            “Kenapa?” Soalku lagi.

Ian menggelengkan kepalanya tetapi matanya masih dihalakan pada ikan bawal di hadapannya. Aku turut memandang kari ikan bawal di hadapan Ian. Manalah tahu kot-kot ikan dekat depan ni hidup balik.

            “Ni kari ikan bawal lah.” Jawabku cuba mengagak yang Ian bertanya hidangan apa yang terhidang di depan matanya.

            “Pedas?” Soal Ian. Raut wajahnya ketika ini tersangatlah kelakar. Kelihatan takut-takut menyebabkan aku terasa ingin ketawa. Mesti dia trauma dengan sambal ikan bilis nasi lemak tempoh hari.

            “Tak, tak pedas pun.” Jawabku dan mencedok ikan bawal itu ke dalam pinggan Ian yang sudah berisi nasi putih.

            “Nak guna fork and spoon.” Ujar Ian.

            “Tak boleh.” Balasku pula. Ian sudah mengerutkan dahi. Nak proteslah tu.

            “Kita ni orang Melayu, makan nasi kena guna tangan. Ikut sunnah Rasulullah, pakai tiga jari tau. Lagipun, berdasarkan kajian, dekat jari-jari kita ni ada enzyme yang elok untuk perut kalau kita makan guna tangan.” Balasku lagi.

Ian sudah terkebil-kebil sambil mengangkat tiga jarinya. Comel betul telatahnya!

            “Tapi, sebab kita ni makan nasi, lagi selesa guna lima jari.” Sambungku lagi. Aku lihat Ian sudah merenung kelima-lima jarinya. Lama pulak tu. Macam lah baru tumbuh satu lagi jari baru.

            “Macam ni, awak cubit isi ikan tu sikit, gaulkan dengan nasi sikit. Lepas tu, guna hujung lima-lima jari untuk kumpulkan nasi dan ikan sekali dan terus masuk mulut.’’ Aku menunjukkan cara-cara makan dengan menggunakan tangan kepada Ian.

            “Tangan kanan eh?” Soal Ian. Aku angguk sambil tersenyum.

Aku tersenyum lagi melihat Ian yang sedang terkial-kial menggunakan tangan kanannya untuk makan. Tambahan pula dia seorang yang kidal, makan menggunakan tangan kanan membuatkan dia berasa janggal. Apa yang aku perasan, jika makan menggunakan sudu dan garfu, dia akan menggunakan tangan kiri untuk memegang sudu. Telatah walid yang kelihatan sangat biasa menggunakan tangan semasa makan, membuatkan aku kagum. Walid memang dah betul-betul macam orang Melayu sejati. Elok sahaja dia makan ulam timun dengan sambal belacan.

            “Eh, Achik makan nasi guna tanganlah!” Tutur Jazmin teruja.

            “Isy, Min! Apa jerit-jerit macam tu. Kan tengah makan ni, nanti tersedak pulak Achik tu.” Tegur umi lembut.

Jazmin sudah tersengih-sengih memandang Ian dan umi. Anak mataku menyedari reaksi umi yang sedang tersenyum melihat Ian yang sedang berusaha makan dengan menggunakan tangannya.



Usai membantu umi dan Mak Nab mengemas ruang makan, aku naik ke tingkat atas untuk mencari Ian yang aku yakin sedang berada di dalam bilik. Ketika aku masuk ke dalam bilik, Ian sedang menghadap komputer ribanya.

            “Anak murid, mari kita belajar.” Tuturku sambil mengeluarkan beberapa buah buku yang kubeli di Popular bersama-sama dengan Auni dahulu.

            “Belajar?” Soal Ian. Aku tidak pasti dia tidak faham atau buat-buat tidak faham.

            “Belajar bahasa Melayu. Jangan buat-buat lupa pulak. Nanti tak pasal-pasal jadi lupa betul-betul. Walaupun hari ini awak sangat baik sebab tolong angkat saya pagi tadi.” Jawabku bersahaja.

            “Angkat? Angkat apa? Mana ada.” Jawab Ian.

            “Tak nak mengaku sudah. Tapi, kita masih kena belajar.” Balasku pula.

            “Do you need to do until this extent?” Soal Ian yang kelihatan sangat geram. Geram sangat agaknya sehinggakan dia menggigit bibir bawahnya. Aku sudah mahu ketawa.

            “Hah, dalam agreement dah bagitahu awak kena berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu. Lupa?” Balasku sambil mengangkat kening. 

Ian mendengus. Lambat-lambat dia bangun dari meja belajar miliknya dan menghampiriku yang sedang bersila di hadapan meja Jepun yang diletakkan di atas karpet tebal.

            “Hari ni, kita akan mula dengan huruf-huruf vokal dulu.” Ujarku sambil mengeluarkan cue cards yang kupinjam dari Amanda, anak Along Seth.

Ian membelek-belek cue cards yang masih terletak elok di dalam kotak dengan dahi yang berkerut seribu.

            “Ni untuk budak-budak tadika lah!” Protes Ian dengan wajah yang dimasamkan.

            “Menjawab, menjawab! Nanti tak berkat ilmu tau tak.” Usikku.

           “Saya tahu huruf vokal lah. Sama je dengan English punya.” Balas Ian. Kali ini suaranya dikendurkan sedikit.

            “Oh, ha’ah kan! Lupa pulak. Ala, saya usik je lah. Hari ni kita belajar macam mana nak bina ayat. Kita mula dengan ayat tunggal dulu.” Balasku sambil tersengih. Aku mengeluarkan sebuah buku tulis kosong dan sebatang pen.

            “Ayat tunggal ni, ayat yang ringkas. Kena ada subjek dan predikat. Contohnya, ibu mahu ke pasar. Faham tak?” Sambungku sambil memandang ke arah Ian yang mendiamkan diri sejak tadi.

            “Fahamlah. Tu kan simple sentence.” Balas Ian.

            “Ehem !’’

            “Eh, itu ayat ringkas.’’

Aku mengangguk-angguk sedangkan di dalam hati sudah mahu ketawa melihat telatah Ian.

            “Kalau awak dah faham pasal ayat tunggal, senang untuk bina apa-apa jenis ayat. Tapi, kosa kata awak kurang, jadi kita kena belajar tatabahasa dulu.” Aku menyambung ‘kelas bahasa Melayuku’ pada petang itu.

            “Tatabahasa tu apa?” Soal Ian.

Aku mengeluh sambil menggeleng-gelengkan kepala.

            “Tatabahasa tu, grammar la. Faham?” Ulasku dan Ian mengangguk.

            “Untuk hari ini, kita akan belajar mengenai penjodoh bilangan atau dalam bahasa Inggeris kita panggil collective nouns. Contoh penjodoh bilangan ialah sebuah, sebiji, seekor, dan lain-lain. Dalam buku ni ada terangkan.’’ Aku menyambung peneranganku berdasarkan buku yang kubeli. Untuk setiap penjodoh bilangan, aku menerangkan maksud, fungsi dan contoh ayat.

            “Sebelum kita tamatkan kelas untuk lawat kak Nisa dekat hospital, tolong bina satu ayat menggunakan mana-mana penjodoh bilangan yang awak dah belajar tadi.’’ Pesanku dan berdiri.

            “Ya, cikgu.’’ Jawab Ian dan tangan kirinya mengambil pen dan buku yang kuletakkan di hadapannya.

            “Jangan curi tulang. Saya nak pergi toilet sekejap.’’ Ian kelihatan menganggukkan kepalanya dan aku berlalu ke tandas. Sewaktu aku keluar dari tandas, Ian sudah berdiri.

            “Dah siap ?’’ Soalku.

            “Dah. Saya nak pergi tandas pulak.’’ Jawab Ian dan terus berlalu. Aku kembali ke meja Jepun dan meneliti buku tulis bersaiz kecil itu. Terus mataku membulat melihat ayat yang dikarang oleh Ian.

            ‘Iman Amani ialah seorang guru yang garang seperti singa.’

            “Ian !!!’’ Aku sudah menjerit sementara Ian yang di dalam bilik air sedang seronok ketawa.


**********************************


Pagi-pagi lagi aku sudah menerima panggilan daripada Maya berkenaan tempahan barang-barang hantaran yang sudah sampai. Selepas berbincang dengan Maya, aku menjenguk umi yang sedang berkebun di luar rumah.

            “Umi ni macam mama Iman lah. Suka sangat dengan bunga-bunga.’’ Tegurku sambil tersenyum.

            “Memanglah, dari sekolah lagi, memang umi dengan mama Iman memang minat bunga. Bila balik dari sekolah, mesti gatal tangan masing-masing nak petik bunga yang pak cik tukang kebun tu tanam. Memang kena marahlah jawabnya.’’ Balas umi sambil mengesat peluh yang merintik di dahi.

            “Oh, nakal jugak umi dengan mama masa kecik-kecik dulu ya.’’ Usikku membuatkan umi tertawa kecil.

            “Biasalah, Iman. Zaman budak-budak dulu.” Balas umi sambil menggantung semula pokok bunga orkid di tempat yang disediakan.

            “Amani, jom!” Tiba-tiba Ian muncul entah dari mana. Aku dan umi saling berpandangan.

            “Nak pergi mana?” Soalku pelik. Penampilan Ian yang ringkas dengan jeans hitam dan t-shirt lengan pendek berwarna kelabu itu kupandang sekilas. Pagi-pagi dah melawa ni, nak pergi mana pulak?

            “Shopping.” Jawab Ian sambil tersengih lawa.

            “Shopping?” Soalku kembali.

            “Temankan shopping lah. Nak beli office outfits. This Friday kan dah nak mula kerja.” Jawab Ian.

            “Oh, kejap. Nak tukar baju. Umi, jom lah sekali. Shopping ramai-ramailah baru seronok.” Balasku sambil memaut lengan umi.

            “Korang pergilah. Umi nak bermanja dengan pokok-poko bunga ni. Dah lama tak belek diorang ni semua.” Balas umi sambil kepalaku diusap lembut.

            “Betul ni umi tak nak ikut?” Soalku lagi.

            “Betul, betul. Korang berdua pergilah.” Jawab umi sambil tersenyum.

Aku terus berlalu ke tingkat atas untuk menukar baju. Aku mencapai kemeja checkered lengan panjang berwarna merah putih dan dipadankan dengan jeans hitam. Aku menggosok shawl kosong berwarna hitam selepas mengenakan sedikit bedak kompak dan pelembap bibir.

            “Jom!” Aku berdiri di sebelah Ian sambil tersengih. Ian sudah terkebil-kebil memandangku.

            “Kitorang gerak dulu ya, umi.” Aku bersalam dengan umi sebelum mengikut langkah Ian yang sudah ke tempat letak kereta.

Aku menghampiri kereta Mini Cooper milikku yang berwarna merah. Eh, tak ada pulak mamat ni!

            “Guna kereta walid yang itu.” Beritahu Ian yang muncul tiba-tiba. Jari telunjuk kanannya menunding ke arah kereta Honda Civic berwarna kelabu metallik.

            “Eh, kenapa?” Soalku pula.

            “Kereta awak ni, kecil sangat.” Jawab Ian sambil berpeluk tubuh merenung keretaku. Siap menggeleng-gelengkan kepala lagi.

            “Sama kecil macam owner dia.” Tambah Ian bersahaja sebelum berlalu.

Amboi! Sedapnya mengata aku. Depan-depan pulak tu. Aku memandang keretaku yang bersaiz comel ini.

            “Sampai hati mat salih celup tu mengata awak ni kecik. Tak apa, cik Mini. Kita jangan kawan sama dia.’’ Tuturku perlahan sambil menepuk-nepuk bumbung kereta.

            “Are you talking to your car?” Soal Ian dari jauh.

            “Ian, bahasa awak!” Aku sudah terjerit dan Ian hanya ketawa selamba.



Ian memandu kereta dengan berhati-hati menuju ke Suria KLCC. Kali ini, dia sudah mula membiasakan diri dengan selok-belok jalan di Kuala Lumpur ini.

            “Macam mana boleh familiar dengan jalan kat sini?” Soalku ingin tahu kerana sebelum-sebelum ini, jika Ian yang memandu, kami pasti akan sesat larat.

            “Belajar dengan Google Map.” Jawab Ian yang wajahnya memandang ke hadapan. Sepasang anak matanya sudah dilindungi dengan kaca  mata Rayban.

            “Belajar macam tu je?” Soalku lagi.

            “Yalah. Baca je lah apa yang map tu tunjuk.” Jawab Ian pula.

            “Tak susah nak faham ke?” Soalku lagi.

            “Tak adalah.” Jawab Ian. Sebenarnya, jika berdasarkan fakta kajian, lelaki sememangnya lebih mahir membaca peta berbanding kaum wanita. Jadi, mungkin perkara sebegini tidak mendatangkan sebarang masalah kepada Ian.


Sebaik sahaja memakirkan kereta, aku dan Ian mengatur langkah masuk ke dalam Suria KLCC. Mungkin kerana masih dalam musim cuti sekolah, orang ramai memenuhi pusat beli-belah ini. Ian yang langkahnya lebih panjang dan lebih laju, sudah jauh ke hadapan meninggalkan aku. Bertuah punya laki! Sempat aku mengutuk-ngutuk di dalam hati sambil mempercepatkan langkah untuk mengejar Ian sebelum aku yang hilang.

            “Bum!”

Kepalaku sudah berlanggar dengan belakang tubuh Ian yang tiba-tiba berhenti di satu tempat.

            “Sakitlah!” Aku sudah menggosok-gosok dahi yang terasa pedih.

            “Yang awak brake tengah-tengah jalan ni kenapa?” Bebelku lagi. Aku tengah geram, dia boleh tersengih-sengih macam tengah buat iklan ubat gigi Colgate pulak tengah-tengah ramai ni.

            “This won’t do.” Tutur Ian tiba-tiba sambil memandangku yang masih ingin terus membebel.

            “Ian, bahasa awak! Kan saya dah pesan…”

Aku tidak meneruskan ayatku apabila tangan kiri Ian sudah mengenggam tangan kananku dengan erat.

            “Kena buat macam ni supaya awak yang saiz mini ni tak hilang.” Ujar Ian sambil tersenyum. Aku yang terkejut, sudah terkebil-kebil memandang Ian.

            “Tak ada hilangnya! Awak yang takut hilang sebenarnya kan?” Jawabku yang mulai sedar dengan apa yang sedang berlaku. Aku cuba menarik semula tanganku dari pegangan tangan Ian.

            “Menjawab, menjawab! Nanti kena kidnap baru tahu. Jom, jom. Gerak sekarang.” Jawab Ian pula sambil menarik tanganku.

Aku sudah tidak tahu ingin membalas apa. Sudahnya, redha sahajalah kena heret dengan Ian sambil berdoa di dalam hati supaya jari-jemari aku yang comel ni tak tercabut daripada tapak tangan. 


13 comments:

  1. Hahaha seyes entry kali ni sgt2 klaka dan sweet gila.. Mmg tersenyum jer sepanjang baca. ?? :-) thanx

    ReplyDelete
  2. Ian and Amani tersangat-sangatlah cumel.... #^_^

    ReplyDelete
  3. suka sangat sangat...nanti jangan lama sgt yer upload..hehehehe buat kami termimpi mimpi...hihi

    ReplyDelete
  4. Sooooo suwittt!upload nxt n3 ccpt tau :p

    ReplyDelete
  5. yumi hyra, suka sangat part lovey dovey ni..sebelum masuk part ada konflik...ada ke? bila nak update encik driver tu? windu lak entri baru.

    ReplyDelete
  6. best sgt bab ni.. Tp Ble bab amani ajar Ian yg msuk tatabhse tu Ian cm nmpk bodohnya plk wlwpn da duduk lame kt oversea.. Nmpk cm watak Ian terbodoh skjp lak.. Huhu.. Sori Klu komen ni xmembntu.. Huhu..

    ReplyDelete
  7. hari2 tgk blog ne tertunggu tunggu , hee cant wait next n3 , keep it up ;)

    ReplyDelete
  8. Lawak and comel je diorang due nie :D

    ReplyDelete
  9. luv it. tak sabar nak ajak kawan-kawan lain baca sama.

    ReplyDelete
  10. aduh!!! lawak kali nie.... tapi x puas ati gak baca.....bila nak keluar btuk novel niee. cpat cpat le yumi....

    ReplyDelete
  11. alololo..sooo sweet..suka nyer dengar ian bbahasa melayu..comey gitu..

    ReplyDelete
  12. Sooo sweet suka lah cerita ni...sambung please....

    ReplyDelete