Tuesday 17 November 2015

Insomnia! Bab 6




AKU MENCELIKKAN mata sambil tangan memegang belakang kepala yang sakit. Sebaik sahaja teringatkan apa yang berlaku tengah malam tadi, aku terus duduk tegak sambil anak mata meliar ke sekeliling.
"Jihan, kau ni betul-betul buat aku risau tahu." Hana duduk di sebelahku.
"Macam mana aku boleh ada dekat sini? Mana lembaga tu? Apa yang dah jadi ni?" anak mataku sudah melilau ke kiri dan ke kanan.
"Aku yang sepatutnya tanya apa yang dah jadi dengan kau." Hana melepaskan keluhan berat. Riak wajahnya jelas menunjukkan yang dia sedang risau.
"Lembaga tu mana?" aku berdiri sambil terus ke tingkap. Suasana di luar rumah masih gelap dan sunyi.
"Lembaga mana pulak ni? Kau jangan buat aku takut, Jihan!" takut-takut Hana bersuara.
"Macam mana aku boleh terbaring dekat ruang tamu ni?" aku soal Hana.
"Sejak bila masalah insomnia kau bertukar jadi tidur berjalan ni?" soalanku dibalas dengan soalan juga.
Aku mengerut dahi.
"Siapa yang tidur berjalan?" soalku pelik.
"Kaulah! Takkan aku pulak?" balas Hana, geram.
Aku senyap, masih tidak berpuas hati. Mana lembaga hitam tu pergi? Hantu ke manusia?
"Aku tengah tidur tadi terkejut bila dengar bunyi loceng rumah kita. Yalah, gila ke apa ada orang tekan loceng pukul 2 pagi? Bila aku bukak pintu, aku tengok kau dah tidur bersandar pada pintu rumah. Sejak bila kau tidur berjalan ni, Jihan?" jawab Hana panjang lebar.
"Kau dengar orang tekan loceng rumah?" soalku dan Hana mengangguk.
"Bila kau bukak pintu, kau tak nampak orang lain melainkan aku yang tengah tidur bersandar pada pintu rumah?"
Hana angguk lagi.
"Sejak kau kenal aku dah nak masuk enam tahun ni, pernah ke aku tidur berjalan? Tak pernah kan?"
Hana terus terdiam.
"See, inilah misteri nusantara yang perlu kita selesaikan. Jangan biarkan diri anda diselubungi misteri,"
"Tengah-tengah malam macam ni, boleh pulak kau buat lawak tak laku kau tu." Hana mencebik.
Aku terus ketawa.
"Kau nak tahu apa yang sebenarnya terjadi pukul 12 tengah malam tadi?" aku pandang wajah Hana yang kelihatan bingung. Serentak, Hana menjungkitkan keningnya dan aku mula bercerita apa sebenarnya terjadi.
"Kau biar betul!" Hana sudah menepuk-nepuk bahuku sambil matanya sudah membulat.
"Betullah! Kau ingat berfaedah ke aku nak buat cerita pasal benda-benda macam ni? Tak ada faedahnya! Baik aku selesaikan masalah aku yang tak boleh nak tidur ni lagi bagus!" jawabku dengan serius.
"Habis tu, lembaga yang kau jumpa tadi dengan lembaga yang dulu tu, sama ke?" soal Hana
"Manalah aku tahu. Lembaga tu manusia atau sebaliknya pun aku tak pasti. Aku tak sempat check ada kaki ke tak atau muka dia macam mana, aku dah pengsan dulu," aku menyandarkan tubuh pada sofa. Rasa macam nak demam pulak.
"Dah tu macam mana sekarang ni? Aku takutlah, Jihan!" Hana pandang aku dengan wajah pucatnya. Minah ni! Aku yang dah dua kali terserempak dengan lembaga tu, dia pulak yang over.
"Kita kena siasat lembaga tu apa atau siapa sebenarnya," balasku.
"Kita pindah rumahlah, Jihan."
"Kenapa pulak nak pindah rumah? Kau jugak yang cakap sewa rumah ni murah bersebab. Haa...ni lah sebabnya!"
"Kita tengah risau, dia boleh main-main. Patutlah lembaga tu syok kacau kau!"
"Eh, kau ni! Esok lembaga tu cari kau baru kau tahu."
Hana terus senyap. Tahu pun takut!
"Dah tu macam mana ni?" Hana pandang aku semula.

"Asyik dia je yang cari aku, siap buat aku pengsan dua kali lagi. Lepas ni biar kita pulak cari dia," jawabku dengan yakin.

6 comments:

  1. Terima kasih dik utk update ni.. tapi kan... kalau awak update 2 minggu sekali pn ok.. kalau dapat, seminggu 1 entri lg bagus. Hehehee.Jangan marah ye.. akak cuma bagi pendapat je. =)

    ReplyDelete
  2. Sama2, kak. Insya Allah, sy try update sekerap yg mungkin ya. Sbb waktu sy agak padat dengan kerja, study and menulis :)

    ReplyDelete
  3. Paham².. Bkn nk push awk..cuma akak selalu terjenguk² blog ni tunggu entri baru. Kalau ada update sebulan 2 kali pn da ok. =)

    ReplyDelete
  4. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  5. Wuishhh seronok baca. Suspen betul. Hmm... tak sabar nk tunggu entry baru

    ReplyDelete