Sunday 20 September 2015

Insomnia! Bab 1& 2




Bab 1

AKU letakkan kedua-dua belah tapak tangan di atas perut sambil berbaring merenung siling bilik tidurku. Kalau siling bilik ni boleh bercakap, mesti dia akan merungut hari-hari dekat aku, "Pi lah tidoq. Dok tenung aku bukan dapat apa, dapat mata panda adalah. Bonus tambahan, kena bebel dengan si tentera Jepun."
Sejak aku bertukar tempat kerja baru ini, penyakit insomnia atau sukar untuk tidur ini makin menjadi-jadi. Mataku akan celik, segar bugar sehingga pukul 4 pagi. Selepas pukul 4 pagi barulah aku boleh terlelap dan pastinya akan mengantuk di tempat kerja. Di tempat kerja pula, akan tersengguk-sengguk di meja kerja sehinggalah dibebel oleh bos yang perangainya serupa tentera di zaman Jepun. Aku rasa, mesti dia 'mandrem'kan aku supaya aku jadi begini.
Malam semalam, Hana mengajak aku menonton filem Ju-On. Berdasarkan teori Cik Hana itu, selepas menonton filem seram, seseorang itu akan terus masuk bilik, baca doa tidur dan ayat Kursi, pejam biji mata rapat-rapat dan terus tidur sampai Subuh esoknya. Biji mata pasti tak nak bukak-bukak dah.
Malangnya, selesai menonton filem seram hantu Jepun itu, biji mataku terbuka luas sehingga pukul 4 pagi dengan bayangan Ju-On di dalam bilik tidur gelap itu! Gila! Pagi tadi, si tentera Jepun a.k.a bos aku yang semua staff panggil sebagai Tuan Zaid itu, membuat konklusi yang aku boleh melihat hantu. Kata dia, hanya orang yang selalu ternampak hantu yang mengalami masalah tidur. Kurang asam boi sungguh!
Telefon bimbit yang diletakkan di sebelah bantal kucapai. Baru pukul 12 tengah malam. Ada lagi empat jam sebelum pukul 4 pagi. Dah tak larat nak kira kambing biri-biri. Entah berapa ribu ekor sudah selesai aku kira sambil berbaring tadi. Tiba-tiba kedengaran bunyi anjing menyalak ditambah dengan bunyi kuat dari rumah sebelah yang sejak dahulunya kosong dan tidak berpenghuni. Aku telan liur sambil duduk bersila kaku di atas katil.
Nak intai ke tidak? Kalau 'encik han' yang keluar macam mana?
Kalau tak intai dan tengok dengan mata sendiri, lagilah mata aku tak boleh berkrompromi untuk tidur selepas ini. Akan terfikir-fikir sehinggalah pagi esok dan yang pastinya terus tak boleh tidur. Natijahnya, telingaku terpaksa menadah sindiran Tuan Zaid lagi.
Aku bangun dari dudukku dan bergerak perlahan-lahan ke arah tingkap. Tingkap bilikku ini memang lokasinya strategik; senang nak mengintai rumah kosong di sebelah ini.
Sedang aku terintai-intai, satu lembaga berdiri betul-betul di luar rumah kosong itu dan sedang memandang ke arah aku.
Dan, aku terus pengsan!


Bab 2
"By the way, ni assistant awak yang baru. Selain tugas dia bantu awak, dia kena pantau awak sepanjang masa supaya tak tertidur time buat kerja," Tuan Zaid berdehem sebentar.
Automatik anak mataku singgah pada seorang lelaki yang berdiri di sebelah Tuan Zaid. Dia senyum sopan memandangku. Nampak macam budak baik spesies mamat nerd. Cermin mata berbingkai hitam yang tersangkut pada hidung lelaki ini melurut ke bawah. Kelam-kabut dia membetulkan cermin matanya. Okey, nampak lurus bendul pun ada. Budak-budak lagi ni! Baru habis belajar agaknya.
“Jangan awak buli dia pulak,” seolah-olah dapat membaca apa yang sedang berada di fikiranku, Tuan Zaid terlebih dahulu memberi amaran.
“Mana ada saya nak buli, tuan. Saya kenalah tatang assistant saya bak menatang minyak yang penuh,” aku sengih memandang Tuan Zaid yang sedang menggelengkan kepalanya.
“So, meet Wafa Mikhael. Wafa, meet Jihan Sofia; team leader for event management,”
“Welcome to Lucrative Holdings, Wafa,” aku senyum memandang Wafa Mikhael.
“Thank you,”
“Kak Akma from HR on emergency leave hari ni. Awak tolong bawa Wafa untuk kenalkan dengan staf-staf kita yang lain. It is good to help your sleepiness problems by walking around. Wafa, just to let you know, this lady ada serius masalah mengantuk dekat ofis. Tolong tengokkan dia jugak. By any means, saya benarkan awak buat apa sahaja supaya dia stay awake,” pesan Tuan Zaid sebelum dia berlalu meninggalkan aku dan Wafa. Mak aih!
“Tuan Zaid memang macam tu, Wafa. Perangai ala-ala tentera zaman Jepun sikit tapi hati dia baik. Jom, dah ready nak jumpa colleagues yang lain?” aku bangun dari tempat dudukku.
“Yup,”

           
            “Kita ada new handsome kid in the office ke, Jihan?” tiba-tiba Saliha atau lebih popular dikenali sebagai Sally sudah tercegat di meja kerjaku.
            “Eh, kata pergi jumpa client hari ni?” aku mengerut dahi. Cepat sungguh berita tersebar sehinggakan orang yang tidak ada di ofis pun sudah tahu.
            “Half day je, ni baru balik. Aku tahu pun sebab Kak Min bagitahu time lunch tadi,” Sally terus menarik sebuah kerusi kosong dan duduk di sebelahku.
            Aku menggelengkan kepala. Pantas sungguh geng Kak Min and friends menyebarkan berita. Memang patut pun dorang tu bekerja di department marketing.
            “Ha’ah. Baru join hari ni,” jawabku malas.
            “Mana dia? Tak nampak pun. Dorang kata dia assistant kau ya? Untunglah, dapat assistant handsome. Boleh buat penyejuk mata kau yang asyik mengantuk tu. Betul kan?” Sally senyum penuh makna.
            Aku cabai jugak bibir merah bergincu dia ni.
            “Jihan, kotak-kotak tadi tu saya dah letak label dan simpan dekat dalam bilik stor,” tiba-tiba Wafa muncul dengan wajah yang sudah dibasahi peluh.
            Mulut Sally sudah melopong sambil sebelah tangannya memukul-mukul lengan kananku. Minah ni dah kena sampuk ke apa?
            “Mak cik, kau ingat kau tengah pukul batang pokok pisang ke? Ni lengan akulah. Sakitlah!” aku tepis tangan putih melepak Sally.
            “Handsome sangat, mak cik! Muka innocent je. Sejuk mata aku memandang,” Sally senyum lebar sambil anak mata tidak lepas-lepas menatap wajah Wafa sehingga merah wajah Wafa dibuatnya.
            “Wafa, saya kenalkan ini Saliha atau lebih popular dikenali sebagai Sally dekat sini. Nak panggil Kak Sally pun boleh. Sally, ni Wafa Mikhael,” tuturku bersahaja membuatkan Sally terjerit kecil.
            “Jangan panggil Kak Sally. Panggil Sally je,” Sally senyum gatal sambil anak mata digamkan pada wajah Wafa. Wafa terus pandang aku dan aku menjungkitkan kening.
            “Umur berapa? Duduk dekat mana? Grad dari mana? Single and available tak?” bertalu-talu soalan Sally kepada Wafa.
            “Err…saya,” Wafa tergagap-gagap sambil anak matanya beralih daripada wajah Sally ke arahku. Kasihan pula aku lihat Wafa Mikhael yang terkulat-kulat.
            “Sorry Sally, aku interrupt your interview session. Kitorang kena gerak sekarang, ada appointment dengan client pukul 3 petang,” aku terus ambil handbag yang disimpan di dalam laci meja. Aku menghantar isyarat mata ke arah Wafa.
            “Ala, Jihan! Tak bagi peluang langsung kat aku,” Sally membuat muka dan aku buat-buat tak dengar.
            “Jom, Wafa,” aku sudah berdiri.
            “Oh, okey,” dia cepat-cepat mengambil begnya juga.
            Aku dan Wafa berjalan ke arah lif dan telingaku menangkap bunyi Wafa menarik nafas lega. Aku terus ketawa.
            “Ofis yang ramai staf perempuan memang macam ni. Saya rasa awak patut minta kerja dekat modelling company. Kalau masuk sini, memang awak kena bertabah,” usikku sambil tersenyum.
            “Tapi tadi waktu briefing kata meeting dengan client pukul 4 petang?” soal Wafa.
            “Budak ni! Awak kena berterima kasih dengan saya sebab dah selamatkan awak daripada diserang virus ‘ulat bulu’. Tak apa, kita pergi awal untuk survey tempat yang client kita nak buat event tu dulu. Lagi senang nak discuss dengan dorang nanti,” aku melangkah masuk ke dalam lif sebaik sahaja pintu lif terbuka. 

3 comments:

  1. best...adakah tuan Zaid tu heronya? hehe
    btw, sy bru je jumpa blog ni terus suka
    gaya penulisan awk. nnti nak cari novel
    ESMSC.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih. Sebenarnya sy ada letak beberapa bab lagi dekat Wattpad, belum letak di blog. Hehe, sila2 mencari novel ESMSC. Kalau nak order dr sy pun boleh :)

      Delete
  2. Ohh ESMSC dah release ke? Hahahaa hepi nya

    ReplyDelete