Saturday 27 July 2013

Encik Kutub Utara 5




Bahagian 5

            Pagi-pagi lagi mummy dah sibuk memasak. Saudara-mara dari sebelah mummy yang tinggal di Perlis dan Kedah, sudah sampai pagi tadi. Mereka masing-masing mengambil feri yang paling awal. Riuh jugaklah rumah keluarga aku ini bila mak-mak sedara aku dah bagi mula dengan sesi meng‘interview’ aku. Yalah, tiba-tiba sahaja hendak bertunang. Ringan sahaja mulut aku mahu menyalahkan Benyamin. Aku bukannya tahu apa-apa. Mamat sewel tu yang buat keputusan ikut kepala otak dia yang senget tu.

Aku membantu mummy apa yang patut walaupun malam tadi aku tak dapat tidur langsung. Banyak sangat berfikir sampai otak dah rasa penat. Nak telefon Benyamin pun, aku bukannya ada nombor telefon mamat tu. Lepas aku sindir-sindir dia dekat hospital dulu, aku terus cabut macam tu je. Tak sempat pun nak minta nombor telefon. Yang aku ada, nombor telefon pejabat dia. Tak pun, encik setiausaha dia tu. Kalau aku ada nombor telefon dia, malam tadi lagi aku dah sound dia cukup-cukup. Biar dia rasa telinga dia macam nak tercabut.

            “Adik membebel-bebel dalam telefon tadi. Dia kata dia nak balik jugak. Nak tengok ayong bertunang.” Cerita Aqwa yang masuk menjenguk ke kawasan dapur. Ingatanku terus melayang pada Afif yang masih di Perancis, menyambung pelajaran di sana.

            “Ala, mummy dah cakap dengan dia. Time ayong kahwin nanti, dia tengoklah ayong puas-puas. Angah, angah tolong mummy bentangkan karpet dekat depan tu.” Balas mummy. Mendengarkan mummy bercerita mengenai isu perkahwinan, aku sudah mula terasa kecut perut. Periuk belanga tak terbang ke kalau aku betul-betul kahwin dengan Benyamin?

            “Najah, Ben baru aje telefon abang. Dorang baru je naik kapal terbang.” Beritahu abah pula.

            “Ya ke? Tak apalah, rumah dah berkemas, memasak pun dah sudah. Tinggal anak dara abang ni je yang tak siap-siap lagi. Tak mandi lagi pulak tu.” Balas mummy sambil memandang ke arahku.

            “Nak pi mandilah ni, mummy.” Balasku pula dan ingin berlalu ke tingkat atas.

            “Nanti ayong pakai baju yang mummy dah sangkut dekat dalam almari tu.” Pesan mummy.

            “Ayong ingat nak pakai baju kurung kain kapas yang mummy jahit tu je. Tak boleh ke?” Usikku tetapi mummy sudah menjegilkan biji matanya. Aku berlalu ke tingkat atas sambil ketawa. Tetapi tawaku tidak lama sebaik sahaja aku membuka almari dan kelihatan sepasang baju kurung dari kain lace berwarna ungu lembut di dalam almari. Bila masa pulak mummy sediakan baju ni?


            Ketika aku sudah selesai mandi dan menukar pakaian, mummy masuk dengan  mak ngah, kakak mummy. Mak ngah ini merupakan mak andam ketika zaman mudanya dahulu.

            “Awat, mummy? Ayong dah nak pakai tudung dah ni.” Tuturku.

          “Ni, mummy nak mintak tolong mak ngah hang make-up kan ayong sikit. Barulah lawa anak dara mummy ni.” Balas mummy,sambil bertukar senyuman dengan mak ngah.

            “Ala, mummy. Tak payahlah. Bertunang je pun. Bukannya ada orang nak tengok pun.” Balasku sambil mencari-cari pin tudung dari dalam bekas kaca.

            “Sikit aje. Biar nampak naik seri.” Balas mummy pula. Wajahnya sudah kelihatan mengharap. Akhirnya aku mengalah.

            “Ayong nak mak ngah make-up kan ayong macam make-up zombie boleh?” Soalku pada mak ngah. Biar bila mamat tu jumpa aku lepas ni, dia pengsan. Baru padan dengan muka dia.

“Isy, hang ni. Ada ke nak make-up macam zombie.” Komen mak ngah sambil mengerutkan dahi.

“Ayong gurau je lah, mak ngah.” Balasku, tersengih.

Hang ni, tengah nervous nih.” Balas mak ngah dan menarik kerusi untuk duduk di hadapanku.

Aku hanya tersengih. Nervous? Nervous apanya? Aku rasa tak sabar nak jumpa Benyamin adalah. Aku nak hempuk dia sekali biar skru-skru dalam kepala otak dia tu ketat balik.


            Sepanjang proses merisik dan selepas itu bertunang dan juga perbincangan mengenai majlis perkahwinan, aku hanya duduk di dalam bilik tidurku. Aku sudah panas punggung, hendak sangat mengetahui apa yang sedang mereka bincangkan di luar sana. Risau aku kalau Benyamin mengambil keputusan sendiri tanpa berbincang denganku.

            “Ayong, pening kepala Ina tengok ayong ni. Seminit tak boleh duduk diam.” Ujar adik sepupuku, Hardina.

            “Ayong tengah risau ni.” Balasku.

            “Ayong nak risau apa? Bakal tunang ayong tu ada je dekat luar rumah dengan abang Aqwa. Handsome kot Ina tengok.” Balas Hardina, tersengih.

            “Isy, Ina ni. Handsome pulak yang Ina tengok dulu.” Balasku.

            “Yalah, Ina bukannya buta.” Balas Ina dan tersengih lagi.

            “Ina, Ina tolong jadi spy ayong boleh tak?” Pintaku.

            “Spy? Spy apa pulak ni, ayong?” Soal Hardina, pelik.

            “Ina keluar jap, tolong curi dengar apa yang abah ayong tengah bincang dengan wakil Ben tu.” Jawabku. Aku pandang Hardina dengan wajah mengharap.

            “Eh, tak nak lah Ina. Kalau ibu nampak nanti, tak pasal-pasal Ina kena piat telinga.” Hardina terus menggelengkan kepalanya.

            “Ala, bolehlah Ina.” Pintaku lagi.

            “Ayong ni kenapa sebenarnya?” Soal Hardina pula.

            “Kalau ayong cerita pun, Ina bukannya faham. Ni hal orang dewasa.” Jawabku dan Hardina mencebik.

            “Eh, Ina dah besar dah. Dah 17 tahun. Kalau zaman ibu dulu, dah kahwin dah.” Balas Hardina.

            “Amboi, amboi. Hang tu, SPM pun tak lepaih lagi tau dak. Gatai dah nak pikiaq pasai kahwin na.” Usikku dan Hardina ketawa.

            Sedang kami seronok berbual, mummy masuk ke dalam bilik sambil ditemani oleh mak long dan mak ngah.

            “Amboi, hangpa dua orang ni syok bersembang. Ayong, get ready. Sat lagi mak angkat Benyamin nak masuk, nak sarungkan cincin.” Tutur mummy.

            Mak angkat? Siapa pulak mak angkat mamat tu?

            “Ayong dari tadi dah get ready, mak su. Dia dah tak sabar dah tu.” Usik Hardina.

            “Sibuklah, hang. Budak kecik, duduk senyap-senyap.” Balasku pula.

            “Assalamualaikum.” Suara lembut yang memberi salam itu membuatkan semua kepala terarah pada muka pintu. Seorang wanita berusia lewat 50-an melangkah masuk ke dalam bilik.

            “Oh, inilah Nuha ya? Cantik, manis orangnya. Pandai Ben pilih.” Puji wanita itu sambil duduk di sebelahku. Dia tersenyum manis. Aku? Hanya mampu tersenyum semenjak tadi, seolah-olah sedang shooting iklan ubat gigi Darlie.

            “Mak Engku ni kawan baik arwah mak Benyamin. Dah macam mak kandung Ben sendiri.” Beritahu Mak Engku. Aku tersenyum lagi sedangkan di dalam hati sudah ber’wow-wow. Mak Engku? Kerabat diraja mana pulak yang Benyamin kenal ni? Sukalah buat cik jantung aku ni kerja lebih masa sampai penat.

            Mak Engku mengeluarkan kotak berwarna biru lembut yang sangat sinonim dengan Tiffany & Co. Sebentuk cincin ditarik keluar daripada kotaknya dan disarungkan pada jari manisku. Tangan Mak Engku aku salam dan satu ciuman singgah pada pipi kananku. Amir yang masuk dengan kamera DSLR miliknya sempat lagi menangkap gambar.

            Mummy menjemput Mak Engku dan rombongan kecil Benyamin untuk makan. Benyamin hanya datang bersama-sama keluarga Mak Engku yang terdiri daripada suami Mak Engku dan dua orang lelaki yang merupakan anak Mak Engku. Ketika aku keluar ke ruang tamu, aku tidak melihat pula keluarga Dato’ Zamir. Mungkin mereka sibuk dan tambahan pula majlis pertunangan ini sangat tiba-tiba.


**********************

            Selesai makan tengah hari, abah meminta aku membawa Benyamin dan keluarga Mak Engku ke resort milik abah yang terletak tidak jauh dari Pantai Chenang. Nasib baiklah keluarga Mak Engku ada sekali. Kalau setakat si Benyamin tu, pandai-pandailah dia nak hidup. Aku sempat menarik Aqwa sekali sebagai peneman.

            “Mak Engku, ni kunci bilik. Yang ini untuk bilik Mak Engku dan Pak Engku. Yang ini untuk bilik anak-anak Mak Engku. Yang kunci lagi satu ni untuk bilik Benyamin.” Tuturku sopan sambil menyerahkan kunci bilik kepada Mak Engku, satu lagi kunci bilik kepada anak sulung Mak Engku, Tengku Iqmal dan satu lagi kunci kepada Benyamin.

            “Terima kasih, Nuha. Nanti kita jumpa lagi sebelum Nuha balik KL. Mummy Nuha kata flight malam ni ye?” Balas Mak Engku. Benyamin yang berdiri di sebelah Mak Engku, hanya diam. Sejak dia sampai, aku belum sempat lagi nak berleter.

            “Ha’ah, Mak Engku.” Balasku.

            “Awalnya balik KL. Ingatkan balik sekali dengan kitorang.” Balas Pak Engku pula.

            “Esok ada appointment dengan client, Pak Engku. Tu yang kena balik jugak, tak boleh amik cuti.” Jawabku sambil tersenyum.

            “Lah, kesiannya.” Balas Pak Engku.

            “Yalah. Dah orang tu ikut suka kepala otak dia je buat decision.” Gumamku perlahan sambil menjeling ke arah Benyamin. Benyamin seperti biasa, menayang muka tidak berperasaan.

            “Apa dia, Nuha?” Soal Pak Engku.

            Alamak! Diorang dengar ke luahan hati kecil aku tadi?

            “Eh, tak ada apa-apa, Pak Engku. Pak Engku and family, berehatlah. Petang nanti kita jumpa lagi.” Jawabku, tersenyum seolah-olah tiada apa yang berlaku.

            “Kami naik dululah ya.” Balas Mak Engku dan mereka sekeluarga berlalu.

            “Eh, eh! Awak nak pergi mana?” Soalku, pantas menahan Benyamin yang turut ingin berlalu.

            “Pergi biliklah.” Jawab Benyamin tanpa sebarang rasa bersalah.

            “Awak naik atas, letak barang awak. Lepas tu, awak turun balik.” Ujarku tegas.

            “Dah kenapa pulak nak kena turun balik?” Soal Benyamin tidak puas hati.

            “Saya tunggu awak dekat pantai belakang tu dengan Aqwa.” Pesanku, tidak mahu menjawab soalan Benyamin. Biar mamat tu rasa panas hati macam yang aku selalu rasa.


            “Kalau awak tak datang, saya pancitkan tayar kereta awak yang dekat KL tu.” Selepas selesai mengugut Benyamin seperti budak-budak sekolah, aku tarik tangan Aqwa dan terus cepat-cepat angkat kaki dari situ.

4 comments:

  1. Comelnya...Suka baca karya akak....santai aje

    ReplyDelete
  2. Encik Kutub Utara nie ada brpd chapter?? Cter nie memang awesome sngt...

    ReplyDelete
  3. ERk...bila nak sampai part mereka berdua ni..hihi

    tak sabo nih.. !!!!

    ReplyDelete
  4. waiting for the next entry..hope to see soon :)

    ReplyDelete